Dah 8 bulan aku pindah rumah baru. Tapi alamat dalam kad pengenalan aku masih guna alamat lama. Hari Selasa lepas baru sempat pergi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk urusan tukar alamat kad pengenalan.
Aku pergi dengan isteri aku. Dia pun kena tukar alamat kad pengenalan dia.
Tahukah anda? Jika kita pindah rumah dan bermastautin di tempat baru lebih dari 90 hari, kita perlu tukar alamat pada Kad Pengenalan, IC atau MyKad kita.
Berdasarkan Peraturan 15, Peraturan Pendaftaran Negara 1990 setiap orang yang memiliki kad pengenalan dan bertukar tempat kediaman ke suatu tempat yang seseorang itu akan tinggal selama tempoh 90 hari atau lebih hendaklah membuat gantian penukaran alamat pada kad pengenalan.
Aku tukar alamat kad pengenalan di JPN Shah Alam yang terletak di Tingkat 6 Plaza Masalam (Office Tower). Bangunan dia sekali dengan Plaza Shah Alam (shopping mall).
Orang tak ramai sangat kat JPN Plaza Masalam tu. Boleh terus walk-in pergi sana. Tak buat temujanji pun takpe.
Aku pergi sana hari tu pukul 10:00 pagi. Urusan laju sebab tak ramai orang. Tunggu nombor giliran lebih kurang 5 minit je. Urusan kat kaunter pun cepat.
Kad pengenalan baru boleh ambil pada hari yang sama dalam tempoh 30 minit, kalau takda apa-apa masalah.
Proses Tukar Alamat Kad Pengenalan
Nak tukar alamat kad pengenalan, pergi JPN dan bawa dokumen berikut:
- Kad pengenalan lama (asal)
- Dokumen sokongan seperti bil elektrik, bil air, bil astro, bil TM, cukai pintu, cukai taksiran, perjanjian atau resit sewa rumah, perjanjian jual beli rumah, atau lain-lain dokumen seumpamanya bagi membuktikan kita dah menetap di alamat baru tu.
Tak kena isi borang. Cuma bawa dokumen diperlukan tu sahaja. Staf JPN akan kemaskini alamat dalam sistem mengikut alamat pada dokumen sokongan.
Tukar alamat termasuk tukar kad pengenalan baru. Gambar pun kena guna gambar terbaru. So, pakai kemas-kemas sebelum pergi JPN sebab nanti nak ambil gambar kat situ.
Disarankan pakai baju berwarna gelap. Tak kisah warna apa pun asalkan gelap. Perempuan yang bertudung juga kena pakai tudung berwarna gelap atau warna hitam.
Bayaran RM10 dikenakan untuk tukar kad pengenalan baru. Bayar di kaunter guna kad kredit atau debit. JPN dah tak terima wang tunai. Sekarang kan zaman cashless.
Kad pengenalan lama JPN akan ambil balik. Kalau nak buat kenangan, snap lah gambar kad pengenalan lama tu dan simpan sebagai lipatan sejarah.
Kad pengenalan baru akan dikeluarkan dalam tempoh 30 minit lepas selesai urusan di kaunter. Sekejap je.. Boleh pergi jalan-jalan dulu sambil tunggu kad pengenalan siap.
Isteri aku dah dapat kad pengenalan baru tukar. Tapi aku punya belum dapat, sebab…
Masalah Cap Jari Rosak
Cap jari aku rosak.. Ibu jari kanan aku ada masalah kulit kering, merekah dan mengelupas. Jadi, thumbprint ibu jari kanan tu tak boleh pakai. Dah sapu krim yang JPN sediakan pun tak boleh juga.
Disebabkan masalah cap jari rosak, proses tukar kad pengenalan aku jadi bertambah lama. Staf JPN tu bagitau masalah cap jari rosak biasanya ambil masa 1–4 minggu untuk dapat kad pengenalan baru.
Balik rumah dulu, tunggu dan semak Sistem Semakan Permohonan MyKad dari semasa ke semasa untuk tengok status bila kad pengenalan baru tu boleh diambil.
JPN bagi aku dokumen pengenalan sementara untuk guna sepanjang tempoh tunggu kad pengenalan baru. Kalau ada nak buat urusan rasmi, dokumen pengenalan sementara tu perlu pengesahan oleh JPN dengan caj tambahan RM5.
Kalau takda keperluan untuk buat urusan rasmi lain dalam tempoh terdekat, tak perlulah bayar caj tambahan RM5 tu.
Senang je urusan tukar alamat kad pengenalan. Cuma nak pergi JPN tu rasa malas. Pastikan jaga ibu jari supaya cap jari tak rosak. Nanti jadi macam aku pulak, 2 kali kena pergi JPN.
Update: Aku dah pergi ambil kad pengenalan baru kat JPN lepas status permohonan MyKad tunjuk “Sedia Diambil”. 2 hari je menunggu. Nasib baik tak kena tunggu sampai sebulan.