Selamat Menyambut Awal Muharram 1433H

Awal Muharram 1433H Maal Hijrah

Selamat menyambut Awal Muharram 1433H kepada semua umat Islam 1 dunia termasuk pembaca-pembaca setia blog Anarm.Net.

Tahun 1432 Hijrah telah meninggalkan kita dengan pelbagai kenangan suka dan duka, pahit dan manis, kejayaan dan kegagalan, serta bermacam-macam jenis pengalaman yang telah kita lalui sepanjang kita hidup sehingga ke hari ini. Alhamdulillah, jutaan rasa syukur ke hadrat ilahi atas segala nikmat dan rahmat yang diberikan oleh-Nya kepada kita semua.

Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan permulaan tahun hijrah bagi umat Islam sepertimana yang telah ditetapkan oleh Khalifah Umar Al-Khattab dan dipersetujui oleh para sahabat ketika itu.

Ianya merupakan suatu hari yang sangat bermakna bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 masihi.

Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharam dan telah dijadikan hitungan permulaan tahun dalam Islam.

Kemuliaan Bulan Muharram

Rasulullah SAW telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi) kerana kemuliaan dan kelebihan bulan ini. Allah SWT telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram.

Tiada bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah SWT selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ia dinamakan bulan Allah disebabkan besarnya kehormatannya.

Setiap amalan yang dilakukan pada bulan Muharram ini akan dikurniakan pahala yang berlipat kali ganda. Jika dilakukan dosa-dosa pada bulan ini, maka akan berlipat kali ganda juga dosanya.

Peristiwa Penting Bulan Muharram

1 Muharram

  • Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan 1 Muharram adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).

10 Muharram

  • 10 Muharram dinamakan juga sebagai Hari Asyura. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.
  • Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
  • Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  • Nabi Nuh diselamatkan oleh Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  • Nabi Ibrahim diselamatkan oleh Allah daripada pembakaran Raja Namrud.
  • Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  • Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  • Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkan oleh Allah.
  • Nabi Ayub dipulihkan oleh Allah daripada penyakit kulit yang dideritainya.
  • Nabi Yunus selamat keluar daripada perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  • Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya daripada tentera Firaun.
  • Kesalahan Nabi Daud diampunkan oleh Allah.
  • Nabi Sulaiman dikurniakan oleh Allah kerajaan yang besar.
  • Hari pertama Allah menciptakan alam.
  • Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  • Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  • Allah menjadikan ‘Arasy (tempat Allah bersemayam).
  • Allah menjadikan Luh Mahfuz – lembaran tempat dituliskan segala amal dan perbuatan seseorang yang akan diperlihatkan kepadanya ketika hari perhitungan atau hari akhirat (yaumilmahsyar).
  • Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  • Nabi Isa diangkat ke langit

Sunnah Rasulullah di bulan Muharram

Disunatkan pada bulan Muharram ini untuk kita berpuasa, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam shahihnya dari Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW telah bersabda,

“Puasa yang paling utama setelah (puasa) Ramadhan adalah bulan Allah yakni Muharram.”

Akhirnya Hijrah 1432 dan permulaan lembaran baru tahun Hijrah 1433 ini diharap dapat kita jadikan sebagai titik tolak untuk kita penuhi tahun ini dengan azam dan semangat yang lebih berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Jadikan tahun ini sebagai tahun untuk kita berhijrah ke arah kebaikan, meninggalkan segala kejahatan dan keburukan. Semoga setiap perlakuan dan perbuatan kita hari ini dan hari-hari seterusnya akan mendapat keberkatan dan diredhai Allah Ta’ala. Selamat Menyambut Awal Muharram 1433H.

8 Comments

  1. selamat tahun baru.. jom sama2 kita berhijrah.. ubah perangai jadi lebih baik dari sebelum ni.. tinggalkan segala perbuatan yang membawa dosa, gantikan dengan perbuatan yang memberi pahala.. insyaallah..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *