Cara Pasang Sendiri Dekoder MYTV Di Rumah

Sebelum ni aku dah ceritakan tentang dekoder MYTV percuma yang aku dapat. Kali ni aku nak kongsi pula cara pasang dekoder MYTV tu.

Mesti ada di kalangan korang yang dapat juga dekoder percuma daripada MYTV. Dah pasang ke belum?

Kalau belum pasang lagi, boleh cuba pasang sendiri dekoder MYTV di rumah. Senang je cara pasangnya. Aku pun dah pasang MYTV kat rumah mak dan abah aku masa balik beraya di kampung hari tu.

Sekarang mak dan abah aku dah boleh tengok siaran TV digital myFreeview dengan kualiti gambar yang lebih jelas.

MYTV Siaran Digital myFreeview Percuma

Bagi sesiapa yang belum tahu, MYTV merupakan siaran TV digital percuma di Malaysia yang disediakan oleh pihak MYTV Broadcasting.

Tanpa bayaran bulanan, tanpa sebarang kos tersembunyi, tiada kontrak sampai bila-bila, dan tak perlukan sambungan internet atau wifi.

MYTV Siaran Digital myFreeview Percuma

Peralatan Untuk Siaran Digital MYTV

Sebelum boleh nikmati siaran digital MYTV ni, kena sediakan dulu peralatan-peralatan diperlukan untuk pemasangan.

1. TV Biasa atau TV Digital

Bagi TV biasa, anda memerlukan dekoder MYTV atau Dekoder DVB-T2 untuk menikmati siaran digital myFreeview.

Kalau TV di rumah anda jenis digital atau IDTV (Integrated Digital TV), tak perlu guna dekoder sebab TV jenis tu dah sedia dibina dengan ‘Digital Tuner‘. Boleh sambungkan terus antena UHF ke IDTV untuk terima siaran digital.

2. Set Dekoder MYTV atau DVB-T2

Siapa belum ada dekoder MYTV boleh dapatkannya melalui wakil penjual MYTV. Atau boleh juga beli di Lazada. Harga dekoder MYTV – RM187.

Nak lebih jimat, boleh je beli mana-mana Dekoder DVB-T2 lain yang harga lebih murah. Boleh guna juga untuk terima siaran digital MYTV.

3. Kabel RCA (3 Warna) atau HDMI

Kabel RCA (warna Merah-Putih-Kuning) digunakan pada TV biasa untuk disambungkan ke dekoder. Untuk IDTV pula boleh gunakan kabel HDMI.

Kabel RCA dan HDMI

4. Antena Digital UHF ‘Tulang Ikan’

Aku guna antena digital 5 Element (5E) yang boleh dapat signal sehingga 80km jarak dari rumah dengan pemancar MYTV.

Kalau jarak rumah dengan pemancar lebih dari 80 km, antena 5E tak sesuai. Kena guna antena 14 Element (14E) yang boleh dapatkan signal dalam jarak 80-100km.

Antena Digital UHF jenis 5E dan 14E

Untuk elakkan tersalah beli antena, kena pastikan dulu jarak rumah anda dengan pemancar MYTV (jarak atas udara). Takut tersalah pilih antena yang tak sesuai, nanti susah pula nak dapat siaran MYTV.

Macam mana nak tahu jarak pemancar tu? Mudah je. Tak perlu keluar rumah untuk ukur jarak. Hanya dengan bantuan Google Maps.

Cara Ukur Jarak Pemancar MYTV

Gunakan Google Maps versi web di PC atau laptop.

  • Buka peta kawasan liputan MYTV.
  • Tekan simbol pencawang yang berdekatan dengan lokasi anda.
  • Tekan simbol anak panah (putih-merah) untuk buka di Google Maps.
  • Set lokasi rumah anda di Google Maps.
  • Klik kanan pada mouse di titik lokasi rumah anda dan tekan ‘Measure distance‘.
  • Klik kanan pada titik lokasi pemancar MYTV dan tekan ‘Distance to here‘.
  • Google Maps akan paparkan berapa KM jarak atas udara dari lokasi rumah anda ke lokasi pemancar MYTV.
  • Lepas dah tahu jarak, bolehlah pilih antena digital UHF yang sesuai, sama ada jenis 5E atau 14E.

Ukur jarak pemancar MYTV menggunakan Google Maps

Jarak pemancar MYTV

Contoh:
Jarak antara rumah mak dan abah aku dengan pemancar MYTV yang paling dekat ialah 52.11 km. Jadi, antena yang sesuai adalah jenis 5E sebab boleh dapat signal hingga 80km.

Nak guna antena 14E pun boleh. Takda masalah. Cuma harga antena 14E lebih mahal daripada 5E.

Kenapa perlu bayar lebih? Sedangkan dengan antena 5E pun dah cukup untuk dapatkan siaran digital MYTV.

Cara Pemasangan Dekoder MYTV

Dah ada kesemua peralatan yang diperlukan, bolehlah sambungkan dekoder ke TV menggunakan kabel HDMI atau RCA (guna salah satu saja).

Antena UHF sambungkan pada terminal aerial TV menggunakan kabel RG6 (kabel astro). Kalau guna kabel selain RG6 mungkin kualitinya tak berapa baik dan signal siaran MYTV akan jadi tak stabil.

Cara pasang dekoder MYTV

Antena ‘tulang ikan’ tu disarankan pasang di luar rumah, di tempat yang tinggi dan tak terlindung oleh dinding atau bumbung rumah untuk menerima signal dengan baik.

Nak tahu arah mana perlu dihalakan antena tu supaya tepat ke arah stesen pemancar MYTV berdekatan, boleh guna aplikasi Google Maps di telefon bimbit atau aplikasi ‘Antenna Pointer‘.

Pasang antena digital MYTV

Antena digital UHF siap dipasang
Antena UHF siap dipasang. Pasang rendah je sebab takut nak panjat bumbung. Gayat.

Cari Signal Siaran Digital MYTV

Selepas dah sambungkan semua peralatan tu, hidupkan TV dan dekoder, kemudian anda perlu SCAN terlebih dahulu untuk cari siaran digital MYTV.

Boleh guna fungsi ‘Auto Scan’ pada dekoder atau scan secara manual menggunakan frekuensi yang bersesuaian berdasarkan lokasi pemancar.

Untuk semak frekuensi siaran MYTV di tempat anda, klik DI SINI.

Dekoder MYTV

Manual scan cari siaran MYTV
TV lama pun boleh tengok siaran digital myFreeview

Proses scan tu dia akan cari dan ‘lock‘ channel MYTV. Semasa scan boleh tengok peratus kekuatan dan kualiti signal yang diterima oleh antena UHF.

Kalau kekuatan dan kualiti signal kurang baik, boleh cuba ubah kedudukan antena sampai dapat signal yang lebih memuaskan.

Ada yang sarankan guna kabel RCA (3 warna) terlebih dahulu semasa proses cari siaran. Jangan gunakan lagi kabel HDMI kerana signal daripada HDMI biasanya akan mengganggu signal MYTV dan menyebabkan signal tak stabil.

Bila dah berjaya ‘lock‘ channel MYTV dengan kabel RCA, barulah tukarkan kepada kabel HDMI.

Faktor persekitaran seperti gunung, bukit, hutan dan bangunan tinggi juga banyak mempengaruhi penerimaan signal MYTV.

Lepas dah siap scan, bolehlah nikmati siaran digital MYTV secara percuma!

Itu saja cara pasang sendiri dekoder MYTV di rumah. Mudah kan? Tak perlu keluar duit bayar upah orang untuk pasangkan. DIY lebih jimat.

7 Comments

    • Bergantung.. Kalau jarak dengan stesen pemancar dekat, boleh je guna antena dalam rumah. Tak silap saya jarak dalam lingkungan 25km.

      Tapi tak semua kawasan dalam lingkungan jarak tu boleh guna antena dalam rumah. Sebab faktor halangan fizikal seperti bukit, hutan dan bangunan tinggi akan ganggu untuk terima signal. Besi grill, tingkap, dinding rumah pun boleh ganggu signal.

      Digalakkan guna antena luar rumah jenis UHF Digital 5E (sekurang-kurangnya) untuk terima signal MYTV dengan lebih baik.

  1. Senang jer pasang dekoder untuk dapatkan siaran MyFreeView TV.

    Saya beli dekoder box di jalan Pasar, KL dan tolong pasang dekat kampung.

    Kualiti gambar superb sebab menerima siaran digital.

    Cuma menyampah dengan watermark siaran percuma. :)

    • Betul. Senang je cara pasang sendiri dekoder MYTV. Watermark tu memang menyampah. Tapi tak boleh buat apa. Benda percuma kan..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *