Tadi aku tengok cerita Parasite (2019) – filem Korea yang telah memenangi anugerah tertinggi Palme d’Or di Festival Filem Cannes 2019.
Filem ‘Parasite‘ ni sedang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh Malaysia. Peminat cerita Korea boleh lah pergi tengok. Menarik juga jalan cerita dia.
Sinopsis Filem Parasite (2019)
Parasite mengisahkan kehidupan keluarga Kim Ki-taek (Song Kang-ho), seorang pemandu menganggur yang tinggal bersama isterinya, Choong Sook (Jang Hyejin), anak lelakinya Ki-woo (Choi Woo-shik) dan anak perempuannya Ki-jung (Park So-dam).
Mereka tinggal di sebuah rumah separa bawah tanah di penempatan penghuni miskin dan mencari rezeki dengan mengambil upah melipat kotak pizza untuk sebuah restoran.
Memang susah kehidupan keluarga ni sampai tak mampu nak penuhi keperluan hidup seharian.
Boleh bayangkan berapa je upah yang mereka terima untuk buat kerja melipat kotak pizza tu. Siap kena potong bayaran lagi sebab kotak pizza tak dilipat dengan baik.
Silap mereka juga sebab buat kerja sambil lewa. Nak siapkan kerja lipat kotak tu dengan lebih cepat, tapi hasil kerja tak memuaskan.
Mereka juga menumpang sambungan Wi-Fi jiran mereka untuk menggunakan internet secara percuma.
Sampai dalam tandas cari signal wifi.
Suatu hari, semasa Ki-woo sedang minum bersama rakannya Min-Hyuk (lakonan Park Seo-joon), dia ditawarkan oleh Min-Hyuk untuk bekerja sebagai tutor (pengajar) kepada seorang anak perempuan keluarga yang kaya-raya iaitu keluarga Park.
Min-Hyuk memberitahu bayarannya sangat lumayan.
Pada mulanya Ki-Woo menolak tawaran tersebut kerana dia rasa tidak layak untuk menjadi pengajar memandangkan dia tak pernah belajar di universiti.
Selepas diberi nasihat oleh Min-Hyuk, akhirnya Ki-Woo bersetuju untuk terima tawaran kerja tersebut.
Menipu Untuk Dapatkan Pekerjaan
Ki-woo telah berpakat dengan adiknya, Ki-jung membuat sijil palsu sebagai ‘bukti’ dia belajar di universiti bagi menunjukkan dia berkelayakan dan memudahkannya mendapat pekerjaan tersebut.
Mrs. Park (Jo Yeo-jeong) dengan mudah terus terima Ki-woo bekerja sebagai pengajar kepada anak perempuannya sebab percaya dengan Min-Hyuk yang telah ‘recommend‘ Ki-woo untuk bekerja di situ.
Di sinilah bermulanya aktiviti penipuan yang dirancang oleh Ki-woo.
Lepas dah dapat pekerjaan tu, Ki-woo ‘recommend‘ adiknya Ki-jung untuk jadi pengajar seni kepada anak lelaki keluarga Park yang suka melukis.
Tapi dia kenalkan Ki-jung sebagai rakannya bernama Jessica, seorang lepasan sekolah seni di Amerika Syarikat. Mereka menyamar seperti bukan adik-beradik.
Lepas tu, dia ‘recommend‘ pula ayahnya untuk bekerja sebagai pemandu, menggantikan pemandu sebelumnya yang dah dipecat oleh Mr. Park (Lee Sun-gyun).
Punca pemandu tu dipecat kerana diperangkap oleh Ki-jung.
Masih tak cukup lagi. Dia ‘recommend‘ emaknya pula bekerja sebagai pembantu rumah untuk keluarga Park. Pembantu rumah sebelumnya pun dipecat juga setelah diperangkap oleh Ki-woo dan Ki-jung.
Mereka menyamar bukan ahli keluarga semasa bekerja dengan keluarga Park. Jadi, dapat lebih banyak income lah bila dikumpulkan semua bayaran gaji mereka.
Rahsia Penipuan Terbongkar
Semasa keluarga Park takda di rumah pergi camping, mereka gunakan kesempatan tu untuk bersuka ria di ruang tamu rumah keluarga Park dan buat macam rumah sendiri.
Rahsia penipuan mereka terbongkar apabila pembantu rumah lama yang dipecat sebelum ni datang semula ke rumah keluarga Park pada waktu mereka sedang berseronok.
Rupa-rupanya ada insiden lain dalam rumah keluarga Park yang turut dirahsiakan oleh pembantu rumah lama tu.
Rahsia apa? Korang tengok sendiri lah filem Parasite (2019) ni di pawagam berhampiran. Panjang sangat nak tulis dalam blog ni.
Menjadi Parasit Pada Orang Lain
‘Parasite‘ sebuah filem yang menunjukkan realiti kehidupan yang berlaku dalam hidup kita. Ianya memberi gambaran jelas bahawa setiap orang di dunia ni memiliki ‘parasit’ masing-masing.
Parasit suka mengambil kesempatan demi keuntungan dan kepentingan diri sendiri.
Sikap kita yang menentukan adakah kita akan menjadi ‘parasit’ pada kehidupan orang lain ataupun tidak.
Trailer Filem Parasite (2019)
Sumber gambar: IMDb
Menyesal baca review nie… Buat aku tertanya-tanya la pulak… Ok, harap dapat la tengok dalam masa terdekat nie.
bagus ni filem. refleksi masalah social pada masa ini