Kaya Dunia Bahagia Akhirat

Kaya dunia.. Wang dan harta merupakan keperluan asas bagi manusia meneruskan kehidupan. Islam mempunyai rukun agama dan rukun kehidupan.

  • Rukun Agama – terbina dari Rukun Islam dan Rukun Iman.
  • Rukun Kehidupan – terbina atas beberapa perkara seperti harta atau kekayaan, keilmuan, ketamadunan dan seumpamanya.

Tanpa tertegaknya rukun kehidupan, kehidupan agama akan tejejas dan paling kurang mundur dan tidak dihormati.

Tanpa harta, nescaya kita tidak akan mampu memiliki keperluan-keperluan asas hidup yang lain seperti makan minum, tempat tinggal, pakaian dan pendidikan.

Ibarat sebuah kenderaan yang bergerak dengan adanya bahan bakar, begitulah juga kehidupan manusia yang digerakkan dengan adanya wang / harta sebagai bahan bakar.

Harta Sebagai Asas Kehidupan Manusia

Islam mengiktiraf harta sebagai asas kehidupan manusia. Ini dapat kita fahami melalui firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa’ ayat 5 yang bemaksud:

Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu;

dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa harta atau kekayaan adalah asas kepada kehidupan keseluruhannya sama ada aspek agama atau pembangunan dunia.

Harta Kaya Dunia

Penjagaan dan Pengurusan Harta

Penjagaan dan pengurusan harta ataupun hifz al-mal ialah salah satu daripada 5 teras keperluan utama yang menjadi tujuan penurunan syariat Islam atau maqasid al-syariah.

Maqasid alsyariah ialah asas dan polisi utama kehidupan beragama.

Penjagaan harta di sini meliputi penjanaan kekayaan, pemindahan dan pengagihan. Aspek yang terpenting antara 3 komponen ini ialah penjanaan kekayaan.

Ini kerana sekiranya harta dan kaya dunia yang dimiliki oleh umat Islam tidak mencukupi, tentulah kita tidak mampu mengagihkannya dalam masyarakat kerana hakikatnya kita sendiri masih kekurangan harta.

Jana Kekayaan Umat Islam

Sebagai seorang muslim yang melihat dunia melalui kaca mata ibadah dan ketaatan kepada Allah, harta dan kekayaan yang dimiliki perlulah juga ditanggapi melalui kaca mata yang sama.

Segala yang dimiliki itu akan menjadi wasilah mendapatkan keredaan Allah dan menjadi bekalan untuknya di akhirat.

Harta menurut kaca mata Islam ibarat sebilah pedang yang mempunyai dua sisi. Baik buruk kesannya bergantung kepada bagaimana manusia menggunakannya.

Allah SWT berfirman berkenaan harta sebagaimana di dalam surah al-‘Aadiyaat ayat 8 yang bermaksud:

Dan sesungguhnya dia (manusia) melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).

Harta dirujuk sebagai “al-Khair” yang membawa maksud kebaikan, sebagaimana pendapat ahli tafsir seperti Imam Ibnu Hajar.

Hal ini kerana Islam sebagai agama yang selari dengan fitrah manusia memandang peranan harta sebagai sesuatu keperluan asas mereka, di samping amalan ketaatan dan ibadah yang berkait dengannya.

Ia tidak mungkin dapat dilaksanakan sesempurnanya tanpa ibadah zakat, wakaf, sedekah dan lain-lain.

Zakat, Wakaf, Sedekah harta kaya dunia

Harta Adalah Ujian Bagi Manusia

Pada masa yang sama, harta juga adalah ujian kepada seseorang manusia.

Seperti disebutkan di dalam ayat 28 Surah al-Anfal yang bermaksud:

Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.

Ini kerana harta kaya dunia boleh menjadi sebab jauhnya seseorang hamba dari Tuhan disebabkan kelalaiannya dan ketamakannya mengumpulkan harta.

Berjaya atau gagalnya seseorang dalam ujian hartanya bergantung kepada bagaimana dia memperolehinya serta membelanjakannya. Adakah ia selari dengan syariat Islam ataupun tidak.

Kekayaan yang dimiliki oleh para sahabat Nabi SAW seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Uthman bin ‘Affan dan Saidina Abdul Rahman bin ‘Auf tidak menjadi penghalang bagi mereka mendapat kemuliaan di dalam Islam.

Bahkan ketiga-tiga mereka merupakan antara 10 orang sahabat yang dijanjikan syurga oleh baginda SAW.

Sebaliknya Qarun, dek kerana keangkuhan dan kesombongannya dengan harta yang dimiliki, dia dilaknat oleh Allah SWT.

Ujian harta kaya dunia

Daripada dua contoh berlawanan yang dikemukakan, jelaslah bahawa baik buruk harta itu bukanlah terletak pada keping kertas mahupun logamnya, tetapi ditentukan oleh sikap pemilik terhadapnya.

Harta Sebagai Pelaburan Dunia dan Akhirat

Harta dan kekayaan, seperti mana kedudukan dan kekuasaan, kesemuanya akan ditinggalkan di dunia ini.

Namun sekiranya harta dan kekayaan yang dimiliki dibelanjakan pada jalan kebaikan seperti wakaf, sedekah dan nafkah, maka pahalanya akan berterusan dinikmati oleh pemiliknya walaupun selepas kematiannya.

Dalam hal ini, Imam Muslim telah meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah bersabda:

Jika manusia itu mati, maka akan putus amalannya kecuali dari tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang diambil manfaatnya dan anak soleh yang mendoakan orang tuanya.

Berdasarkan hadith tersebut, dapat kita fahami bahawa harta menurut Islam bukan hanya dapat dinikmati hasilnya di dunia, bahkan ia juga dapat dijadikan pelaburan akhirat sekiranya ia dilaburkan pada jalan kebaikan dan ketaatan semasa di dunia.

Bahkan lebih daripada itu Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menjanjikan pulangan pelaburan berlipat kali ganda buat para dermawan dari kalangan hambaNya melalui firmanNya dalam Surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (Ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.

Sesungguhnya penjagaan dan pengurusan harta bukan sahaja berkait dengan kepentingan seseorang atau sesebuah organisasi.

Bahkan, ia adalah untuk kelestarian masyarakat dan negara.

Kaya Dunia, Bahagia Akhirat

Beberapa kesimpulan dapat diambil sebagai renungan kita bersama:

  1. Harta dan kekayaan adalah asas kehidupan manusia.
  2. Pastikan harta diperoleh melalui sumber yang halal dan suci, dan dilabur serta dibelanjakan secara patuh syariah.
  3. Belanjakanlah harta pada jalan ketaatan dan kebaikan serta amalkan perancangan kewangan yang baik dan berhemah.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 29 yang bermaksud:

Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (bakhil) dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros) kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *