Kad Visa WISE, Baru Aktifkan Selepas 1 Tahun

Dah lebih 1 tahun kad Visa WISE tersimpan je dalam wallet aku. Kad WISE jenis fizikal ni berfungsi macam kad debit bank. Tapi aku tak pernah guna pun. Sebab tu tak aktif lagi sejak dapat kad ni.

Semalam baru aku cuba aktifkan. Kali pertama guna. Ingatkan dah tak boleh sebab lama sangat kad tak aktif. Rupanya masih boleh.

Kad WISE aku dah berjaya diaktifkan. Lepas ni boleh guna untuk shopping (kalau ada duit dalam akaun tu).

Kad Visa WISE

WISE (Dulu Dikenali TransferWise)

Bagi sesiapa yang belum tahu, WISE merupakan aplikasi akaun multi-currency (pelbagai mata wang) yang menawarkan tukaran mata wang kadar rendah untuk pembayaran antarabangsa, dan didatangkan bersama kad debit (kad prepaid) yang boleh digunakan di banyak negara.

Dengan akaun WISE ni kita boleh buat pembelian atau pembayaran secara online dan offline, boleh juga hantar dan terima wang, serta boleh buat pengeluaran tunai di ATM mana-mana negara seluruh dunia.

Kita juga dapat nikmati lebih penjimatan bagi setiap transaksi mata wang asing. Sangat menguntungkan guna WISE ni lebih-lebih lagi bila pergi bercuti luar negara atau membeli-belah secara online.

Fungsi WISE

Untuk pembayaran luar negara aku memang selalu guna WISE, sebabnya kadar tukaran mata wang asing di WISE ni lebih rendah berbanding kadar tukaran di bank yang kadang-kadang ada caj lebih dikenakan.

Lebih menarik lagi, walaupun dalam akaun WISE kita takda mata wang negara yang nak diguna, sistem WISE akan automatik tukarkan duit dalam akaun kita ke mata wang negara tu dengan caj tukaran terendah.

Cara Guna WISE

Nak guna WISE ni mula-mula kena lah daftar akaun WISE dulu.

Lepas dah daftar, login di laman web atau aplikasi WISE kemudian pergi ke menu ‘Cards‘ untuk dapatkan kad Visa WISE dengan bayaran RM13.70 sekali sahaja. Tiada yuran langganan.

Kad akan dihantar melalui pos dalam masa 2 minggu.

Sementara tunggu kad WISE sampai, boleh terus guna fungsi kad digital yang tersedia dalam aplikasi WISE. Setiap orang boleh ada sehingga 3 kad digital dalam satu masa.

Kad debit WISE

Bila kad WISE dah sampai, kena buat pengaktifan kad tu untuk bolehkan kita guna semua kaedah pembayaran yang disediakan.

Kalau tak aktifkan, kad fizikal tu tiada fungsi bayaran secara contactless atau paywave.

Cara Aktifkan Kad Visa WISE

Ada 2 cara untuk aktifkan kad Visa WISE di Malaysia.

  1. Buat bayaran menggunakan PIN (4 digit) di mana-mana kedai.
  2. Buat pengeluaran tunai di ATM bank yang menyokong fungsi Visa.

Kad akan automatik aktif selepas buat pembayaran atau pengeluaran tunai kali pertama.

Aku aktifkan kad Visa WISE di ATM Maybank. ATM bank-bank lain pun boleh, yang ada logo VISA kat mesin dia.

WISE boleh buat pengeluaran tunai di ATM
Gambar dari milesopedia.com

Keluarkan duit di ATM dengan kad WISE ni ada caj. Tapi kita boleh buat 2 kali pengeluaran tunai sehingga RM1,000 secara percuma setiap bulan.

Untuk pengeluaran kali ke-3 dan seterusnya dalam bulan yang sama akan dicaj RM5.00 bagi setiap transaksi.

Kalau keluarkan lebih dari limit RM1,000 pula akan dikenakan caj 1.75% daripada amaun yang melebihi had pengeluaran percuma tu.

Kad Digital WISE

Aku suka fungsi kad digital WISE. Dia bagi sampai 3 kad digital. Maknanya kita akan ada 4 kad WISE termasuk 1 kad fizikal. So, boleh tukar-tukar kad untuk pelbagai kegunaan. Takda la semua urusan pembayaran guna 1 kad je kan..

Aku selalu guna kad digital WISE untuk bayaran online terutama pembayaran dalam mata wang USD – beli domain, produk digital, beli theme atau plugin untuk buat website, dan lain-lain.

Kad fizikal dan kad digital WISE
Physical card & Digital card WISE

Kad digital WISE ni bagi aku lebih selamat untuk kegunaan online sebab bila-bila masa boleh delete atau ganti kad digital yang baru melalui aplikasi je. Dapat kurangkan risiko maklumat kad terbocor atau kena hack.

Untuk lebih selamat lagi, boleh ‘freeze’ semua kad dalam aplikasi WISE setiap kali lepas guna. Kalau maklumat kad terbocor atau kena hack pun takda siapa boleh guna kad-kad tu sebab dah dibekukan, tak berfungsi.

Bila nak guna balik, tekan je ‘unfreeze’ untuk aktifkan semula kad WISE.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *