COVID-19 | Perintah Kawalan Pergerakan Bermula 18 Mac Hingga 31 Mac 2020

Berikutan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara.

Kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini. Keutamaan Kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak COVID-19 ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.

Situasi semasa wabak COVID-19 memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin.

Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19

Perintah Kawalan Pergerakan

Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Perintah Kawalan Pergerakan meliputi:

Pergerakan & Perhimpunan Ramai Tak Dibenarkan

Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

Semua Rumah Ibadat dan Premis Perniagaan Ditutup

Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai-kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Rakyat Tak Dibenarkan Ke Luar Negara

Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.

Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan membuat kuarantin secara sukarela (self quarantine) selama 14 hari.

Pelancong Tak Dibenarkan Masuk Ke Dalam Negara

Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

Semua Sekolah, Taska, IPTA, IPTS Ditutup

Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.

Semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara juga ditutup.

Semua Premis Kerajaan dan Swasta Ditutup (Kecuali Perkhidmatan Penting)

Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) — iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Infografik Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19
Infografik Perintah Kawalan Pergerakan | Sumber: Bernama

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sedar rakyat di negara ini mungkin merasakan tindakan yang diambil oleh kerajaan menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk menjalani kehidupan seharian.

Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini.

Kita telah melihat beberapa buah negara yang mengambil langkah agak drastik untuk mengawal penularan wabak ini seperti negara China yang telah menunjukkan penurunan mendadak kes-kes jangkitan COVID-19.

Diharap rakyat dapat bersabar menghadapi dugaan ini. Jangan panik, jangan cemas, dan sentiasalah bertenang.

Semoga dengan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan mampu menyekat penularan wabak COVID-19 ini dalam masa yang terdekat.

Semoga kita semua sentiasa diberikan perlindungan oleh Allah S.W.T.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *