Entri lepas aku ada cerita tentang current account bisnes aku di Maybank dah kena block. Disebabkan hal tu, aku terpaksa buka akaun baru di bank lain untuk teruskan urusan bisnes. Dah tak boleh guna Maybank.
Lepas 2-3 hari aku survey beberapa buah bank atas pendapat daripada kawan² di media sosial, aku pilih untuk buka akaun bisnes di Hong Leong Bank (HLB). Sebab ramai bagitau bank HLB ni paling mudah nak buka akaun guna nama perniagaan.
Lebih menarik lagi, Hong Leong Bank ni boleh buka akaun 100% secara online je. Tak perlu pergi bank. Hanya daftar melalui aplikasi Apply@HLB.
Deposit permulaan serendah RM50 je untuk aktifkan akaun bank bisnes di Hong Leong Bank. Kalau akaun bisnes di bank lain biasanya kena masuk RM500 – RM3,000.
Memang aku cari bank yang boleh buka akaun bisnes dengan deposit paling rendah sebab aku tengah kekurangan duit sekarang ni. Akaun Maybank aku kan kena block.. Semua duit bisnes aku dah beku dalam akaun tu, tak boleh keluarkan.
Cara Buka Akaun Hong Leong Bank Secara Online
Nak buka akaun Hong Leong Bank secara online mula-mula kena install dulu aplikasi Apply@HLB dekat Play Store (Android) atau App Store (iOS).
Kemudian buka aplikasi tu dan masukkan nombor kad pengenalan. Ikut je setiap arahan yang diberikan dalam aplikasi.
Lepas tu akan ada pilihan nak buka akaun bank Personal atau Bisnes. Pilih akaun mana yang nak daftar. Kalau untuk bisnes, kena pilih akaun bisnes lah.. Jangan guna akaun personal untuk urusan bisnes.
Buka akaun bisnes di aplikasi Apply@HLB ni tak perlu bagi apa-apa dokumen SSM. Hanya isi nombor pendaftaran SSM yang 12 digit tu dan dia akan terus check dengan sistem SSM.
Seterusnya pilih jenis akaun bank. Ada pilihan akaun Konvensional dan Islamic. Kalau nak akaun bank Islamic, tandakan dekat kotak “I want an Islamic account”.
- Akaun Personal
- Cashback – deposit RM20
- Higher Profit – deposit RM50
- Akaun Bisnes
- Higher Profit – deposit RM50
- Cheque Book – deposit RM500
Kena baca betul-betul setiap info dan arahan dalam aplikasi tu. Tengok jenis-jenis akaun yang ada dapat kad, profit, buku cek, dan berapa jumlah deposit kena masukkan nanti.
Lepas tu akan ke proses eKYC untuk pengesahan identiti. Kena scan gambar IC depan belakang dan selfie sambil kelip-kelip mata, angguk-angguk kepala, nganga mulut.
Dah selesai eKYC tu, isi maklumat diri pulak dan butiran untuk online banking (username & password). Check semua maklumat pastikan betul sebelum submit permohonan.
Permohonan buka akaun bank HLB ambil masa lebih kurang 3 hari untuk diproses. Kena tunggu SMS dan email daripada pihak Hong Leong Bank untuk langkah seterusnya iaitu masukkan deposit pertama.
Aku buka akaun hari tu tak sampai 3 hari pun.. 1 hari je dah siap`.
Aku apply pukul 9 pagi. Pukul 12 tengahari dapat SMS dan email suruh transfer deposit ke akaun HLB yang dah berjaya dibuka. Lepas dah masukkan RM50 deposit pertama, akaun diaktifkan dan boleh terus guna.
Deposit Melalui Online Transfer
Deposit untuk aktifkan akaun Hong Leong Bank ni kena buat melalui online transfer dari akaun bank lain atas nama sendiri.
JANGAN buat deposit melalui tunai / pindahan dari:
- Akaun e-Wallet
- Mesin ATM
- Mesin Deposit Tunai (CDM)
- Pindahan daripada akaun pihak ketiga
Kalau takda akaun bank lain atas nama sendiri, boleh buat temu janji dengan pihak Hong Leong Bank atau terus pergi cawangan Hong Leong Bank untuk urusan buka akaun.
Senang kan? Siapa nak buka akaun bank personal atau akaun bisnes di Hong Leong Bank boleh apply sekarang!